Rabu, 12 September 2007




PENGENALAN

Di Malaysia, risiko untuk kawasan-kawasan di bandar besar mengalami masalah banjir telah meningkat dengan signifikannya sejak kebelakangan ini. Hal ini telah terbukti dengan kejadian-kejadian banjir khususnya banjir kilat seperti yang berlaku di sekitar Bandar-bandar utama di negara ini seperti yang berlaku di Kuala Lumpur, Georgetown, Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain (Chan, 1996).

Kebiasanya, antara penyebab utama berlakunya banjir di negara ini ialah akibat larian air permukaan yang berlaku disebabkan perubahan guna tanah yang pesat di negara ini iaitu daripada permukaan tanah yang telap air ( kawasan hutan ) kepada permukaan yang tidak telap air (lantai konkrit, simen dan sebagainya) yang telah mengakibatkan alur-alur sungai dan longkang menjadi tersekat, sehingga menyebabkan keupayaan sungai bagi menampung air semakin berkurangnya akibat pemendapan kelodak dan sampah sarap khususnya sewaktu kejadian hujan ribut yang lebat atau yang berlaku secara berterusan.

PERMASALAHAN KAJIAN
Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat bagaimana proses pembangunan infrastuktur di Kota Tinggi telah mempengaruhi banjir yang berlaku dan impaknya terhadap penduduk dan infrastuktur.

OBJEKTIF KAJIAN
  • Mengkaji sejauh mana benarnya pembangunan infrastuktur di kawasan Kota Tinggi adalah menyumbang terhadap banjir yang berlaku.
  • Melihat impak banjir terhadap kemudahan infrastuktur penduduk di Kota Tinggi.
  • Meneliti realiti sebenar pembangunan infrastuktur yang sedang berlaku dan bagaimana para penduduk mengambil ikhtibar kesan daripada banjir yang berlaku.
  • Memaparkan persepsi dan mentaliti masyarakat dalam menjaga kemudahan-kemudahan infrastuktur yang terdapat di kawasan penempatan mereka.

LATAR BELAKANG KAWASAN KAJIAN




























Kota Tinggi yang terletak di selatan Malaysia telah dilanda banjir besar mulai pada 18 Disember 2006 akibat daripada hujan lebat yang turun mencurah-curah selama beberapa hari. Banjir yang berlaku ini merupakan antara yang paling teruk di dalam sejarah Malaysia khususnya pada abad ini. Banjir yang berlaku ini, tidak hanya dialami oleh daerah Kota Tinggi semata-mata, tetapi juga telah turut dialami oleh hampir keseluruhan negeri Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Banjir yang berlaku ketika musim tengkujuh di pantai timur Malaysia ini telah dikaitkan dengan fenomena Taufan Utor yang melanda sebahagian wilayah Asia Tenggara seperti Filiphina dan Thailand sehinggakan kesan hujan lebat luar biasa ini urut dirasai oleh negara Singapura dan utara Sumatera, Indonesia.

Selain daerah Kota Tinggi, daerah-daerah lain di negeri Johor yang turut terjejas teruk akibat banjir ialah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Mersing, Muar, Pontian dan Segamat sehinggakan banjir yang melanda ini menyebabkan perhubungan ke Kota Tinggi dan Segamat telah terputus selama beberapa hari. Banjir gelombang pertama ini telah menyebabkan hampir 90,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan oleh pihak kerajaan.





Banjir gelombang kedua pula berlaku pada 12 Januari 2007 iaitu ketika orang ramai sudah mula pulang ke rumah masing-masing selepas banjir pertama berlaku. Seramai 109,831 orang dari 24,765 keluarga telah berpindah ke 344 pusat pemindahan banjir yang telah dibuka semula. Banjir kali ini lebih serius dari banjir pertama sehingga negeri Johor hampir diistiharkan darurat akibat banjir yang semakin teruk sehinggakan 2 pusat pemindahan mangsa banjir juga turut dinaiki air.Secara umumnya, Kota Tinggi yang terletak di muara Sungai Johor merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor yang terletak lebih kurang 40 km dari bandaraya Johor Bahru dan mempunyai keluasan tanah sejumlah 3488.7 kilometer persegi. Aktiviti ekonomi utama di daerah ini ialah aktiviti perladangan dan pertanian seperti kelapa sawit di samping kegiatan ekonomi lain seperti aktiviti perikanan, perlombongan dan perniagaan. Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda selain petempatan orang Asli.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya para pelancong yang berkunjung ke Kota Tinggi ialah Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Makam Tauhid di Kampung Makam, Makam Laksamana Bentan, Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid, air terjun Kota Tinggi, Hutan Lipur Panti, Gunung Panti, Gunung Muntahak, pantai Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar, Tanjung Sedili dan perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi.


FOKUS KAWASAN KAJIAN
  • Kampung Kelantan
  • Kampung Temiuh
  • Taman Kemang

KAEDAH KAJIAN

Dalam menjalankan penyelidikan dan kajian mengenai pembangunan insfrastuktur sebagai penyebab banjir di Kota Tinggi, kami telah menggunakan beberapa kaedah penyelidikan. Antaranya ialah:

Kaedah pemerhatian – membuat perbandingan mengenai proses pembangunan infrastuktur yang sedang berlaku, kemudahan-kemudahan infrastuktur sedia ada, dan kesan banjir yang telah melanda terhadap para penduduk.

Kaedah penyelidikan – mencari rujukan dari sumber- sumber seperti keratan akhbar, website kerajaan negeri dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), kenyataan tokoh-tokoh politik dan pemimpin negara, menganalisis maklumat daripada buku rujukan dan sebagainya.

Kaedah ikut serta – mendampingi para penduduk untuk melihat bagaimana cara kehidupan masyarakat setempat selepas banjir dan bagaimana mereka menjaga kemudahan infrastuktur yang terdapat di kawasan tersebut.

SUBJEK


Para penduduk di kawasan setempat yang terdiri daripada penduduk 2 buah kampung dan sebuah taman seperti yang dinyatakan di atas.

PENEMUAN KAJIAN


Daripada kerja lapangan yang dijalankan selama 3 hari 2 malam di daerah Kota Tinggi, di sini saya dapat simpulkan beberapa penemuan terhadap kajian mengenai Pembangunan Insfrastuktur, penyebab banjir iaitu:-


Kesan Pembangunan Insfrastuktur

Pembangunan yang pesat telah menyebabkan banyak kawasan bandar berkembang untuk memenuhi kehendak kehidupan penduduk setempat dan demi tercapainya matlamat negara sebagai sebuah negara perindustrian baru. Pembangunan yang telah berlaku merangkumi pembangunan perumahan, perindustrian dan pembinaan infrastruktur yang menjadi salah satu punca major yang mengakibatkan berlakunya banjir.


- Berkurangannya kawasan telap air


Sebagai mana yang diketahui, Hutan dan tanah mempunyai peranan penting sebagai agen menyerap air hujan secara semulajadi. Apabila air hujan turun, fungsi penyerapan hutan (tumbuh-tumbuhan) dan tanah akan memanjangkan masa air hujan itu untuk mengalir ke sistem saliran, iaitu sungai dan parit. Tambahan pula, kebanyakan air hujan telah diserap oleh tanah dan akar-akar tumbuhan menyebabkan hanya sebahagian kecil sahaja air hujan akan masuk ke dalam sistem saliran. Oleh itu, sistem saliran yang sedia ada berkemampuan untuk menampung pertambahan isipadu air hujan yang masuk ke dalam sistem saliran.


Namun, apabila pembukaan tanah hutan berlaku akibat tuntutan projek-projek pembangunan dan infrastuktur secara besar-besaran, ini telah menyebabkan permukaan semulajadi di kawasan terbabit telah ditukarkan kepada permukaan yang tidak telap air seperti simen, tar, konkrit dan sebagainya. Hal ini menyebabkan air hujan tidak dapat diserap seperti yang berlaku secara semulajadi, lalu mengakibatkan sebahagian besar air hujan yang turun mengalir terus ke dalam sistem saliran. Pertambahan isipadu air yang banyak di dalam saliran pada waktu yang singkat menyebabkan sistem saliran menjadi cepat penuh dan tidak mampu lagi menampung isipadu air yang semakin bertambah mengakibatkan air melimpah keluar dari sistem saliran. Fenomena inilah antara penyebab berlakunya banjir kilat selepas hujan. Gambar di bawah ini diambil sejurus selepas hujan turun di Bandar Kota Tinggi. Didapati walaupun hujan yang turun tidaklah sebegitu lebat dan hanya turun di dalam jangkamasa yang pendek, namun sistem salinan di Bandar Kota Tinggi tidak dapat menampung pertambahan isipadu air hujan.





- Pemendapan kelodak dalam sungai

Permintaan terhadap kawasan perumahan yang tinggi daripada penduduk merupakan salah satu daripada kesan pembangunan. Oleh sebab terhadnya tanah di kawasan bandar dalam menampung pertambahan penduduk, maka tanah-tanah di kawasan bandar telah meningkat harganya menjadi semakin mahal. Hal ini, telah mendorong dan mengakibatkan para pemaju beralih untuk membuka kawasan tanah berbukit sebagai alternatif bagi membina kawasan perumahan. Pembangunan di kawasan lereng bukit secara berleluasa dengan mengabaikan segala peraturan sedia ada seperti penyediaan Laporan Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA) telah menyebabkan para pemaju di kawasan berbukit membiarkan tanah bukit yang dibuka terdedah kepada pancaran terik matahari dan hujan tanpa kawasan terbabit ditutupi dengan kain plastik atau penanaman rumput untuk mencegah hakisan tanah. Akibatnya, apabila hujan turun, air hujan akan menyebabkan tanah tersebut terhakis dan menyebabkan tanah runtuh mudah berlaku disebabkan stuktur tanah yang tidak stabil.


Kemudiannya, air hujan yang turun di lereng-lereng bukit yang telah terdedah akibat pembangunan akan mengalir masuk ke dalam kawasan saliran sehinggakan kawasan dasar sungai menjadi semakin cetek. Hal ini lambat laun akan mengakibatkan air daripada sistem saliran melimpahi ke tebing mengakibatkan banjir berlaku. Selain itu, kedegilan sesetengah pihak yang menjalankan kegiatan melombong pasir atau melaksanakan pembangunan di kawasan berhampiran sistem saliran turut menyumbang berlakunya pemendapan kelodak di kawasan sungai. Gambar dibawah menunjukkan contoh pembangunan kawasan perumahan dan infrastuktur di tebing sungai Johor yang sedang pesat berlaku.




- Sistem Perparitan, longkang dan Sistem Saliran

Sistem perparitan dan saliran merupakan salah satu daripada penyumbang berlakunya fenomena banjir yang berlaku di negara ini. Hasil daripada pemerhatian kumpulan kami, kami telah mendapati terdapat beberapa kawasan yang mempunyai masalah di dalam sistem perparitannya. Antara masalah yang telah kami dapat kami perhatikan ialah masalah longkang yang tersumbat, sistem perparitan yang tidak diselenggara, kawasan saliran yang dipenuhi semak samun dan sampah sarap, serta terdapat juga longkang-longkang yang dibina tanpa mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Walaupun sistem perparitan, longkang dan saliran bukan punca utama berlakunya masalah banjir, tetapi reka bentuk parit dan longkang turut mempengaruhi berlakunya banjir di mana sekiranya sistem tersebut gagal berfungsi mengalirkan jumlah air larian permukaan ke sistem saliran sungai, ia bukan sahaja akan menjejaskan struktur-struktur lain tetapi juga menyebabkan fenomena banjir.







sistem perparitan,longkang dan saliran yang memungkinkan berlakunya banjir




- Sikap masyarakat


Melalui pemerhatian kami khususnya Kg. Temiuh. Kami telah mendapati, terdapat rumah para penduduk yang dibina terlalu hampir dengan kawasan sungai sehinggakan kawasan sekitar rumah penduduk terbabit dilinangi air. Sistem perumahan dan infrastuktur yang tidak tersusun dan berada di dalam keadaan yang tidak terurus juga menyumbang kepada berlakunya banjir. Melalui pemerhatian kami, rata-rata penduduk ini tidak mempunyai sistem pelupusan sampah yang sistematik sehinggakan kawasan sekitar kediaman rumah mereka kotor akibat sampah yang dibuang merata-rata dan berada pada tahap yang rendah dan tidak memuaskan. Semasa kami membuat pemerhatian kami juga dapat melihat sampah sarap juga terdapat dicelah-celah parit dan longkang yang mana ianya boleh menganggu aliran air terutamaya semasa hujan kerana terdapatnya sekatan ataupun benda (sampah sarap) yang menghalang pengaliran air.

Di atas adalah gambar-gambar yang menunjukkan ketidakprihatinan masyarakat




CADANGAN BAGI MENGELAKKAN MASALAH BANJIR AKIBAT PEMBANGUNAN INFRASTUKTUR

Langkah-langkah yang dicadangkan ialah :

-Mewajibkan setiap projek pembangunan yang berlaku, terutamanya projek-projek besar perlulah mempunyai pelan sistem perparitan yang terperinci bagi menentukan pengaliran keluar bagi setiap jaringan sistem perparitannya yang bertujuan untuk mengawal muatan saluran keluar utama dari tapak pembangunan sehingga ke sungai ataupun saluran air dinaikkan taraf terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembangunan dimulakan.


-Mengawal aktiviti pembangunan samaada pembangunan perumahan, industri, insfratuktur dan sebagainya di sepanjang sungai dengan mengikut garis panduan dan keperluan yang dikenalpasti oleh pihak berkuasa supaya tidak berlakunya hakisan tanah yang boleh mengakibatkan mendapan di dasar sungai mahupun yang boleh menjejaskan aliran air.

-Kawasan-kawasan pembanguanan yang tidak sesuai dan terletak di dalam kawasan rizab sungai perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai.


-Kerja-kerja pendalaman sungai perlu dilakukan untuk membuang enapan yang berlebihan mengikut kekerapan yang dinilaikan sesuai oleh pihak JPS serta memasang perangkap kelodak dan perangkap sampah di sepanjang sungai dan parit-parit besar.

-Kerjasama di antara semua agensi yang melibatkan infrastuktur perlu diperkemaskan dan dipertingkatkan agar memastikan perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan tidak mendatangkan kesan ke atas alam sekitar dan manusia.

-Mengguna pakai kaedah atau Konsep Hazard Map serta Konsep komprehensif flood control yang diguna pakai di Jepun yang dicipta oleh Prof. Kenji Okazaki.








Konsep Hazard Map (Prof. Kenji Okazaki)

Konsep komprehensif flood control di Jepun(Prof. Kenji Okazaki)



KESIMPULAN

Manusia kini telah tiba pada satu peringkat evolusinya apabila kemajuan teknologi membolehkannya mempengaruhi dan mengawal banyak aspek alam semula jadinya. Justeru itu, manusia telah dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam penentuan masa depan tamadun pada masa hadapan. Walaupun manusia masih belum dapat mengawal berbagai-bagai fenomena alam semula jadi seperti kejadian hurikan, taufan, letusan gunung berapi dan gempa bumi, kemajuan teknologi telah membolehkan manusia memodifikasikan dan mengubahkan pelbagai fenomena alam seperti hujan (melalui pembuatan ‘hujan tiruan), aliran permukaan (melalui pengawalan guna tanah), kemarau dan bekalan air (melalui pengairan dan saliran), cuaca dan iklim (melalui pencemaran dan pembandaran) dan lain-lain.


Oleh yang demikian, di dalam kes banjir seperti yang berlaku di Kota Tinggi, memang terdapat pelbagai cara struktur dan bukan struktur untuk mengawasinya. Pengurusan banjir yang cekap dengan menggunakan teknologi semasa perlu diaplikasikan untuk mengurangkan kejadian banjir yang berlaku walaupun beberapa aspek yang mempengaruhi fenomena banjir seperti magnitud, kekerapan dan tempoh kejadian didapati terus meningkat di kebanyakan tempat di Malaysia, khasnya di bandar-bandar besar yang mengalami pembangunan pesat (Jamaluddin, 1985).

Tiada ulasan: