Rabu, 12 September 2007




PENGENALAN

Di Malaysia, risiko untuk kawasan-kawasan di bandar besar mengalami masalah banjir telah meningkat dengan signifikannya sejak kebelakangan ini. Hal ini telah terbukti dengan kejadian-kejadian banjir khususnya banjir kilat seperti yang berlaku di sekitar Bandar-bandar utama di negara ini seperti yang berlaku di Kuala Lumpur, Georgetown, Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain (Chan, 1996).

Kebiasanya, antara penyebab utama berlakunya banjir di negara ini ialah akibat larian air permukaan yang berlaku disebabkan perubahan guna tanah yang pesat di negara ini iaitu daripada permukaan tanah yang telap air ( kawasan hutan ) kepada permukaan yang tidak telap air (lantai konkrit, simen dan sebagainya) yang telah mengakibatkan alur-alur sungai dan longkang menjadi tersekat, sehingga menyebabkan keupayaan sungai bagi menampung air semakin berkurangnya akibat pemendapan kelodak dan sampah sarap khususnya sewaktu kejadian hujan ribut yang lebat atau yang berlaku secara berterusan.

PERMASALAHAN KAJIAN
Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat bagaimana proses pembangunan infrastuktur di Kota Tinggi telah mempengaruhi banjir yang berlaku dan impaknya terhadap penduduk dan infrastuktur.

OBJEKTIF KAJIAN
  • Mengkaji sejauh mana benarnya pembangunan infrastuktur di kawasan Kota Tinggi adalah menyumbang terhadap banjir yang berlaku.
  • Melihat impak banjir terhadap kemudahan infrastuktur penduduk di Kota Tinggi.
  • Meneliti realiti sebenar pembangunan infrastuktur yang sedang berlaku dan bagaimana para penduduk mengambil ikhtibar kesan daripada banjir yang berlaku.
  • Memaparkan persepsi dan mentaliti masyarakat dalam menjaga kemudahan-kemudahan infrastuktur yang terdapat di kawasan penempatan mereka.

LATAR BELAKANG KAWASAN KAJIAN




























Kota Tinggi yang terletak di selatan Malaysia telah dilanda banjir besar mulai pada 18 Disember 2006 akibat daripada hujan lebat yang turun mencurah-curah selama beberapa hari. Banjir yang berlaku ini merupakan antara yang paling teruk di dalam sejarah Malaysia khususnya pada abad ini. Banjir yang berlaku ini, tidak hanya dialami oleh daerah Kota Tinggi semata-mata, tetapi juga telah turut dialami oleh hampir keseluruhan negeri Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Banjir yang berlaku ketika musim tengkujuh di pantai timur Malaysia ini telah dikaitkan dengan fenomena Taufan Utor yang melanda sebahagian wilayah Asia Tenggara seperti Filiphina dan Thailand sehinggakan kesan hujan lebat luar biasa ini urut dirasai oleh negara Singapura dan utara Sumatera, Indonesia.

Selain daerah Kota Tinggi, daerah-daerah lain di negeri Johor yang turut terjejas teruk akibat banjir ialah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Mersing, Muar, Pontian dan Segamat sehinggakan banjir yang melanda ini menyebabkan perhubungan ke Kota Tinggi dan Segamat telah terputus selama beberapa hari. Banjir gelombang pertama ini telah menyebabkan hampir 90,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan oleh pihak kerajaan.





Banjir gelombang kedua pula berlaku pada 12 Januari 2007 iaitu ketika orang ramai sudah mula pulang ke rumah masing-masing selepas banjir pertama berlaku. Seramai 109,831 orang dari 24,765 keluarga telah berpindah ke 344 pusat pemindahan banjir yang telah dibuka semula. Banjir kali ini lebih serius dari banjir pertama sehingga negeri Johor hampir diistiharkan darurat akibat banjir yang semakin teruk sehinggakan 2 pusat pemindahan mangsa banjir juga turut dinaiki air.Secara umumnya, Kota Tinggi yang terletak di muara Sungai Johor merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor yang terletak lebih kurang 40 km dari bandaraya Johor Bahru dan mempunyai keluasan tanah sejumlah 3488.7 kilometer persegi. Aktiviti ekonomi utama di daerah ini ialah aktiviti perladangan dan pertanian seperti kelapa sawit di samping kegiatan ekonomi lain seperti aktiviti perikanan, perlombongan dan perniagaan. Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda selain petempatan orang Asli.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya para pelancong yang berkunjung ke Kota Tinggi ialah Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Makam Tauhid di Kampung Makam, Makam Laksamana Bentan, Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid, air terjun Kota Tinggi, Hutan Lipur Panti, Gunung Panti, Gunung Muntahak, pantai Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar, Tanjung Sedili dan perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi.


FOKUS KAWASAN KAJIAN
  • Kampung Kelantan
  • Kampung Temiuh
  • Taman Kemang

KAEDAH KAJIAN

Dalam menjalankan penyelidikan dan kajian mengenai pembangunan insfrastuktur sebagai penyebab banjir di Kota Tinggi, kami telah menggunakan beberapa kaedah penyelidikan. Antaranya ialah:

Kaedah pemerhatian – membuat perbandingan mengenai proses pembangunan infrastuktur yang sedang berlaku, kemudahan-kemudahan infrastuktur sedia ada, dan kesan banjir yang telah melanda terhadap para penduduk.

Kaedah penyelidikan – mencari rujukan dari sumber- sumber seperti keratan akhbar, website kerajaan negeri dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), kenyataan tokoh-tokoh politik dan pemimpin negara, menganalisis maklumat daripada buku rujukan dan sebagainya.

Kaedah ikut serta – mendampingi para penduduk untuk melihat bagaimana cara kehidupan masyarakat setempat selepas banjir dan bagaimana mereka menjaga kemudahan infrastuktur yang terdapat di kawasan tersebut.

SUBJEK


Para penduduk di kawasan setempat yang terdiri daripada penduduk 2 buah kampung dan sebuah taman seperti yang dinyatakan di atas.

PENEMUAN KAJIAN


Daripada kerja lapangan yang dijalankan selama 3 hari 2 malam di daerah Kota Tinggi, di sini saya dapat simpulkan beberapa penemuan terhadap kajian mengenai Pembangunan Insfrastuktur, penyebab banjir iaitu:-


Kesan Pembangunan Insfrastuktur

Pembangunan yang pesat telah menyebabkan banyak kawasan bandar berkembang untuk memenuhi kehendak kehidupan penduduk setempat dan demi tercapainya matlamat negara sebagai sebuah negara perindustrian baru. Pembangunan yang telah berlaku merangkumi pembangunan perumahan, perindustrian dan pembinaan infrastruktur yang menjadi salah satu punca major yang mengakibatkan berlakunya banjir.


- Berkurangannya kawasan telap air


Sebagai mana yang diketahui, Hutan dan tanah mempunyai peranan penting sebagai agen menyerap air hujan secara semulajadi. Apabila air hujan turun, fungsi penyerapan hutan (tumbuh-tumbuhan) dan tanah akan memanjangkan masa air hujan itu untuk mengalir ke sistem saliran, iaitu sungai dan parit. Tambahan pula, kebanyakan air hujan telah diserap oleh tanah dan akar-akar tumbuhan menyebabkan hanya sebahagian kecil sahaja air hujan akan masuk ke dalam sistem saliran. Oleh itu, sistem saliran yang sedia ada berkemampuan untuk menampung pertambahan isipadu air hujan yang masuk ke dalam sistem saliran.


Namun, apabila pembukaan tanah hutan berlaku akibat tuntutan projek-projek pembangunan dan infrastuktur secara besar-besaran, ini telah menyebabkan permukaan semulajadi di kawasan terbabit telah ditukarkan kepada permukaan yang tidak telap air seperti simen, tar, konkrit dan sebagainya. Hal ini menyebabkan air hujan tidak dapat diserap seperti yang berlaku secara semulajadi, lalu mengakibatkan sebahagian besar air hujan yang turun mengalir terus ke dalam sistem saliran. Pertambahan isipadu air yang banyak di dalam saliran pada waktu yang singkat menyebabkan sistem saliran menjadi cepat penuh dan tidak mampu lagi menampung isipadu air yang semakin bertambah mengakibatkan air melimpah keluar dari sistem saliran. Fenomena inilah antara penyebab berlakunya banjir kilat selepas hujan. Gambar di bawah ini diambil sejurus selepas hujan turun di Bandar Kota Tinggi. Didapati walaupun hujan yang turun tidaklah sebegitu lebat dan hanya turun di dalam jangkamasa yang pendek, namun sistem salinan di Bandar Kota Tinggi tidak dapat menampung pertambahan isipadu air hujan.





- Pemendapan kelodak dalam sungai

Permintaan terhadap kawasan perumahan yang tinggi daripada penduduk merupakan salah satu daripada kesan pembangunan. Oleh sebab terhadnya tanah di kawasan bandar dalam menampung pertambahan penduduk, maka tanah-tanah di kawasan bandar telah meningkat harganya menjadi semakin mahal. Hal ini, telah mendorong dan mengakibatkan para pemaju beralih untuk membuka kawasan tanah berbukit sebagai alternatif bagi membina kawasan perumahan. Pembangunan di kawasan lereng bukit secara berleluasa dengan mengabaikan segala peraturan sedia ada seperti penyediaan Laporan Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA) telah menyebabkan para pemaju di kawasan berbukit membiarkan tanah bukit yang dibuka terdedah kepada pancaran terik matahari dan hujan tanpa kawasan terbabit ditutupi dengan kain plastik atau penanaman rumput untuk mencegah hakisan tanah. Akibatnya, apabila hujan turun, air hujan akan menyebabkan tanah tersebut terhakis dan menyebabkan tanah runtuh mudah berlaku disebabkan stuktur tanah yang tidak stabil.


Kemudiannya, air hujan yang turun di lereng-lereng bukit yang telah terdedah akibat pembangunan akan mengalir masuk ke dalam kawasan saliran sehinggakan kawasan dasar sungai menjadi semakin cetek. Hal ini lambat laun akan mengakibatkan air daripada sistem saliran melimpahi ke tebing mengakibatkan banjir berlaku. Selain itu, kedegilan sesetengah pihak yang menjalankan kegiatan melombong pasir atau melaksanakan pembangunan di kawasan berhampiran sistem saliran turut menyumbang berlakunya pemendapan kelodak di kawasan sungai. Gambar dibawah menunjukkan contoh pembangunan kawasan perumahan dan infrastuktur di tebing sungai Johor yang sedang pesat berlaku.




- Sistem Perparitan, longkang dan Sistem Saliran

Sistem perparitan dan saliran merupakan salah satu daripada penyumbang berlakunya fenomena banjir yang berlaku di negara ini. Hasil daripada pemerhatian kumpulan kami, kami telah mendapati terdapat beberapa kawasan yang mempunyai masalah di dalam sistem perparitannya. Antara masalah yang telah kami dapat kami perhatikan ialah masalah longkang yang tersumbat, sistem perparitan yang tidak diselenggara, kawasan saliran yang dipenuhi semak samun dan sampah sarap, serta terdapat juga longkang-longkang yang dibina tanpa mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Walaupun sistem perparitan, longkang dan saliran bukan punca utama berlakunya masalah banjir, tetapi reka bentuk parit dan longkang turut mempengaruhi berlakunya banjir di mana sekiranya sistem tersebut gagal berfungsi mengalirkan jumlah air larian permukaan ke sistem saliran sungai, ia bukan sahaja akan menjejaskan struktur-struktur lain tetapi juga menyebabkan fenomena banjir.







sistem perparitan,longkang dan saliran yang memungkinkan berlakunya banjir




- Sikap masyarakat


Melalui pemerhatian kami khususnya Kg. Temiuh. Kami telah mendapati, terdapat rumah para penduduk yang dibina terlalu hampir dengan kawasan sungai sehinggakan kawasan sekitar rumah penduduk terbabit dilinangi air. Sistem perumahan dan infrastuktur yang tidak tersusun dan berada di dalam keadaan yang tidak terurus juga menyumbang kepada berlakunya banjir. Melalui pemerhatian kami, rata-rata penduduk ini tidak mempunyai sistem pelupusan sampah yang sistematik sehinggakan kawasan sekitar kediaman rumah mereka kotor akibat sampah yang dibuang merata-rata dan berada pada tahap yang rendah dan tidak memuaskan. Semasa kami membuat pemerhatian kami juga dapat melihat sampah sarap juga terdapat dicelah-celah parit dan longkang yang mana ianya boleh menganggu aliran air terutamaya semasa hujan kerana terdapatnya sekatan ataupun benda (sampah sarap) yang menghalang pengaliran air.

Di atas adalah gambar-gambar yang menunjukkan ketidakprihatinan masyarakat




CADANGAN BAGI MENGELAKKAN MASALAH BANJIR AKIBAT PEMBANGUNAN INFRASTUKTUR

Langkah-langkah yang dicadangkan ialah :

-Mewajibkan setiap projek pembangunan yang berlaku, terutamanya projek-projek besar perlulah mempunyai pelan sistem perparitan yang terperinci bagi menentukan pengaliran keluar bagi setiap jaringan sistem perparitannya yang bertujuan untuk mengawal muatan saluran keluar utama dari tapak pembangunan sehingga ke sungai ataupun saluran air dinaikkan taraf terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembangunan dimulakan.


-Mengawal aktiviti pembangunan samaada pembangunan perumahan, industri, insfratuktur dan sebagainya di sepanjang sungai dengan mengikut garis panduan dan keperluan yang dikenalpasti oleh pihak berkuasa supaya tidak berlakunya hakisan tanah yang boleh mengakibatkan mendapan di dasar sungai mahupun yang boleh menjejaskan aliran air.

-Kawasan-kawasan pembanguanan yang tidak sesuai dan terletak di dalam kawasan rizab sungai perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai.


-Kerja-kerja pendalaman sungai perlu dilakukan untuk membuang enapan yang berlebihan mengikut kekerapan yang dinilaikan sesuai oleh pihak JPS serta memasang perangkap kelodak dan perangkap sampah di sepanjang sungai dan parit-parit besar.

-Kerjasama di antara semua agensi yang melibatkan infrastuktur perlu diperkemaskan dan dipertingkatkan agar memastikan perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan tidak mendatangkan kesan ke atas alam sekitar dan manusia.

-Mengguna pakai kaedah atau Konsep Hazard Map serta Konsep komprehensif flood control yang diguna pakai di Jepun yang dicipta oleh Prof. Kenji Okazaki.








Konsep Hazard Map (Prof. Kenji Okazaki)

Konsep komprehensif flood control di Jepun(Prof. Kenji Okazaki)



KESIMPULAN

Manusia kini telah tiba pada satu peringkat evolusinya apabila kemajuan teknologi membolehkannya mempengaruhi dan mengawal banyak aspek alam semula jadinya. Justeru itu, manusia telah dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam penentuan masa depan tamadun pada masa hadapan. Walaupun manusia masih belum dapat mengawal berbagai-bagai fenomena alam semula jadi seperti kejadian hurikan, taufan, letusan gunung berapi dan gempa bumi, kemajuan teknologi telah membolehkan manusia memodifikasikan dan mengubahkan pelbagai fenomena alam seperti hujan (melalui pembuatan ‘hujan tiruan), aliran permukaan (melalui pengawalan guna tanah), kemarau dan bekalan air (melalui pengairan dan saliran), cuaca dan iklim (melalui pencemaran dan pembandaran) dan lain-lain.


Oleh yang demikian, di dalam kes banjir seperti yang berlaku di Kota Tinggi, memang terdapat pelbagai cara struktur dan bukan struktur untuk mengawasinya. Pengurusan banjir yang cekap dengan menggunakan teknologi semasa perlu diaplikasikan untuk mengurangkan kejadian banjir yang berlaku walaupun beberapa aspek yang mempengaruhi fenomena banjir seperti magnitud, kekerapan dan tempoh kejadian didapati terus meningkat di kebanyakan tempat di Malaysia, khasnya di bandar-bandar besar yang mengalami pembangunan pesat (Jamaluddin, 1985).

KOTA TINGGI DALAM DUKA......

Pada 19 Disember 2006 sehingga 16 Januari 2007, Daerah Kota Tinggi telah dilanda banjir paling besar dalam sejarahnya. Banjir gelombang pertama pada 19 Disember telah menenggelamkan hampir keseluruhan Bandar Kota Tinggi termasuklah kemudahan-kemudahan insfrastukturnya seperti institusi kewangan, kedai-kedai, kawasan perumahan dan kompleks membeli-belah. Namun banjir gelombang kedua bermula dari 11 Januari 2007 lebih dahsyat kerana telah menenggelamkan tempat yang tidak ditenggelami banjir sebelumnya sehingga hampir menerjah masuk ke Hospital Daerah Kota Tinggi (HDKT). Ini terjadi berikutan angin monsun Timur Laut yang bertiup dari bulan Oktober hingga Mac menyebabkan hujan lebat telah melanda seluruh negeri Johor selama hampir seminggu sehingga air sungai tidak mampu lagi menampungnya. Hampir 12,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang terpaksa dibuka dua kali akibat banjir yang telah melanda Daerah Kota Tinggi sebanyak dua kali sehinggakan terdapat pusat-pusat pemindahan yang turut dinaiki air yang menyebabkan mangsa-mangsa banjir terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan lain. Banjir pada kali ini telah mencatatkan sejarahnya kerana air Sungai Johor telah naik sehingga 5.45 meter berbanding rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 4.9 meter.

KERTAS KERJA SEMINAR PEMBANGUNAN & ISU-ISU GLOBAL (MTP 3012)

MIGRASI

Definisi Migrasi

Migrasi adalah penghijrahan sekumpulan manusia dari satu negara ke satu negara yang lain untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka. Sebagai contohnya pada tahun ke-5 kerasulan, Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah melakukan proses penghijrahan atau migrasi dari Mekah ke Madinah untuk mempertahankan akidah dan agama Islam.

Definisi penghijrahan atau migrasi ini amat berbeza dengan pelarian yang membawa maksud sekumpulan manusia yang berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain yakni berpindah ke tempat yang lebih selamat untuk mereka terus hidup setelah mengalami kehidupan yang sengsara kebiasaannya akibat meletusnya peperangan. Perkataan "pelarian " itu sendiri pertama kali digunakan sejak 300 tahun dahulu, bagi menerangkan orang-orang beragama Protestan Hugenots yang melarikan diri dari negeri Peranchis.

Perbezaan antara pelarian dan penghijrahan

Penghijrahan

1. Jika tidak melalui saluran yang sah terutama bagi penghijrah dari luar negara dipanggil pendatang haram ataupun penceroboh.
2. Boleh berlaku dari satu negara ke satu negara atau dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain dalam negara yang contohnya migrasi luar bandar ke bandar.
3. Penghijrahan yang sah diterima baik oleh negara yang didatangi.
4. Masalah penghijrahan ada jalan penyelesaian dan tidak berlanjutan.
5. Bertujuan untuk mempertingkatkan lagi taraf ekonomi atau hidup seperti warganegara Indonesia, Bangladesh, Filiphina yang datang ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.
Pelarian

1. Biasanya berlaku di peringkat antarabangsa, melibatkan perpindahan beramai-ramai dari satu negara ke satu negara terutamanya yang berdekatan atau bersempadan.
2. Istilah " Pelarian " digunakan sehingga satu tempoh tertentu, contohnya selepas 14 Mac 1998 , Malaysia telah mengistiharkan pelarian Vietnam sebagai pendatang haram.
3. Terjadi akibat peperangan; diskriminasi bangsa, agama dan warna kulit; perubahan sempadan negeri ; pencerobohan dan perjanjian peperangan.
4. Tidak mendapat jaminan atau perlindungan dari mana-mana pihak.

Globalisasi Ekonomi

Globalisasi ekonomi boleh didefinisikan sebagai pengaliran perdagangan barangan dan perkhidmatan dan juga aliran dana ataupun kewangan tanpa sempadan. Dalam erti kata lain ia juga sebagai perluasan kuasa pasaran ataupun pasaran terbuka menjadi lebih luas.
Dari sudut teorinya seperti kuasa pasaran menjamin tahap kehidupan rakyat, menjamin dalam kecekapan pengaliran modal dan dari segi pasaran walaupun ia dikembangkan masih tetap mempunyai masalah. Masalah yang utama ialah dari segi pengagihan, bagaimana kekayaan itu diagihkan ? Mungkin pengaliran itu datangnya dari negara yang mempunyai kekurangan dana atau modal.

Dari sudut itu kita nampak yang positif tetapi nilai tambahan daripada pengaliran tersebut di mana ia diagihkan. Pengagihan mungkin tidak sama rata daripada yang memberi dana dan yang menerima dana ataupun pemodal-pemodal tersebut. Mungkin juga berlaku eksploitasi daripada negara-negara yang kuat dan itu adalah kesan yang mungkin tidak menguntungkan.
Kita lihat sebagai contoh, apa yang berlaku integrasi di antara negara Eropah contohnya European Union (EU), di mana banyak perbincangan dibuat apakah keuntungan adanya EU kepada negara Eropah. Ada pandangan mengatakan bahawa rata-rata negara terpaksa akur dengan dominasi yang diletakkan dominasi negara Jerman sebagai negara asas. Mereka mesti akur dengan dominasi dan polisi yang ditetapkan oleh Jerman. Jika dilihat dari sudut ini ia tidaklah menguntungkan sesebuah negara kerana ia bergantung kepada siapa kuat dan siapa lemah.

Pengagihan atau kekayaan itu akan mengalir kepada negara-negara yang kuat dan negara-negara yang lemah mungkin ketinggalan. Analisa telah dibuat melihat kepada sepanjang zaman, adakah ada persamaan dari sudut taraf kehidupan dari masa ke semasa? Adakah mengecil jurang perbezaan di antara negara-negara? Pada era ini tidak, apa yang kita lalui ini memberikan kepada kita bukti bahawa jurang perbezaan antara negara termiskin dan negara terkaya semakin meluas.

Kita lihat negara termiskin di Afrika dan negara kaya di Amerika Syarikat dan Eropah di mana negara Afrika mengalami pertumbuhan yang negatif manakala negara Amerika Syarikat dan Eropah mengalami pertumbuhan yang positif. Ini bermakna jurang perbezaan adalah semakin meluas. Kuasa pasaran mestilah dibendong lantaran pelbagai masalah pengagihan yang perlu diambil berat supaya perkembangan ekonomi atau globalisasi ini kita dapat merasai dengan sebenar-benarnya.

Kerakusan negara dunia besar di mana mereka menguasai "order dunia" tetapi kalau kita lihat ia juga memberi kesan dari segi pengagihan kekayaan yang mana akan menjadi satu beban kepada negara-negara yang kecil. Dalam suasana yang sebegini, kita mempunyai satu jiwa yang besar dan masyarakat kita Malaysia mengambil satu pendekatan seperti "kerjasama pintar".
Pendekatan ini dibawa oleh negara kita Malaysia yang tidak begitu besar, mungkin tidak boleh mempengarui negara-negara lain, tetapi pendekatan keuntungan secara bersama. Pemikir-pemikir barat mengatakan dalam konteks sesebuah organisasi mereka membicarakan konsep "stake holder" di mana keuntungan itu tidak tertakluk kepada organisasi itu sahaja tetapi juga mengambil kira kepentingan dari segi pengguna, alam persekitaran, kerajaan dan masyarakat umum.

Adakah nilai-nilai ini tidak mungkin berlaku kepada masyarakat antarabangsa dalam mengubal sesuatu sistem atau "order ekonomi" walaupun kita dalam era globalisasi? Adakah dari segi akademik atau teori ianya tidak dikembangkan dan ini mungkin menguntungkan masyarakat antarabangsa. Memang pihak-pihak di barat juga bimbang, malahan tulisan yang dibuat oleh Gorge Soros dua tahun lalu sendiri pernah menyatakan bahawa sistem yang berdasarkan kerakusan ini jika dibenarkan akan membawa kepada kehancuran.
Menurut beliau, sistem kapitalis dunia itu sendiri akan memusnahkan diri. Dari segi ketidakstabilan ekonomi yang disebabkan oleh pergerakan wang panas atau "hot money" yang menimbulkan keadaan porak peranda. Apa yang kita lalui sekarang ini sudah pernah dilalui oleh negara-negara lain seperti Eropah dan Britain sendiri, matawangnya pernah jatuh hanya masalahnya terbatas. Mexico juga pernah mengalami dan sekarang kita, dan sepertimana yang pernah kita dengar banyak seruan telah dibuat tentang perlu adanya usaha-usaha untuk mewujudkan satu mekanisma antarabangsa yang dapat mengurangkan peranan wang panas ini.
Bagaimana proses Migrasi berlaku ?

Apabila berlakunya proses migrasi dalam sesebuah negara, jelas menunjukkan bahawa negara tersebut sedang membangun dengan begitu pesat. Namun ia bukanlah satu hal yang dapat dibanggakan. Kemasukan pendatang asing sememangnya diperlukan oleh negara ini yang ketika itu dalam proses peralihan pergantungan ekonomi daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan.

Pada awal tahun 1990an, apabila jumlah pendatang meningkat secara luar biasa hingga melebihi satu juta orang, isu ini menjadi hangat dan menimbulkan kebimbangan banyak pihak, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan mereka datang secara haram. Dalam konteks negara kita Malaysia, Kehadiran hampir sebahagian besar tenaga buruh asing inilah yang telah menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara.

Dalam era mencapai wawasan 2020 ini, pergantungan kepada buruh asing kursusnya dalam bidang pembinaan, perladangan dan perkilangan harus dibendung dengan segera. Sudah sampai masanya rakyat negara ini mencontohi warga asing ini yang rajin dan tekun bekerja walaupun bukan untuk negara sendiri. Sebenarnya banyak faktor telah memainkan peranan dalam terjadinya proses migrasi ini.

Antara faktor-faktor tersebut adalah:

Faktor ekonomi

Faktor ekonomi merupakan faktor utama yang meyumbang kepada berlakunya proses migrasi ini. Kedudukan ekonomi yang mantap dan kukuh menyebabkan wujudnya banyak sektor-sektor pertanian, pembinaan dan perkilangan, sekaligus membuka peluang kepada rakyat sesebuah negara termasuk juga golongan pendatang yang datang khususnya untuk mencari rezeki di negara orang.

Peluang pekerjaan juga wujud bagaikan "cendawan selepas hujan" disebabkan ramai rakyat tempatan tidak berminat lagi berkecimpung di dalam sektor perladangan dan pembinaan, maka kedatangan penghijrah dari Indonesia, Bangladesh dan lain-lain negara, in seolah-olah satu rahmat kepada para pengusaha sektor tersebut.
Kedatangan golongan pendatang ini terbatas kerana kesukaran untuk masuk secara sah ke dalam sesebuah negara. Kita ambil contoh negara kita Malaysia, walaupun berbagai kawalan ketat telah dijalankan namun sempadan dan perairan negara mudah dibolosi oleh mereka secara haram. Salah satu sababnya ialah wujudnya tekong darat dan laut samada dari golongan mereka sendiri ataupun penduduk tempatan yang menjalankan kegiatan ini semata-mata kerana tamakkan wang ringgit.

Taraf ekonomi yang rendah di negara sendiri.

Bagi negara Malaysia khususnya, kemakmuran ekonomi seringkali dijadikan alasan untuk menjelaskan mengapa negara ini menarik perhatian ramai rakyat Indonesia dan Bangladesh malah termasuk juga negara-negara yang mengalami taraf ekonomi yang gawat.
Sejak berlakunya kegawatan ekonomi di rantau Asia ini yang menyebabkan jatuhnya nilai mata wang negara-negara dunia ketiga, dengan secara tidak langsung harga-harga barangan di pasaran meningkat dengan mendadak, maka ini juga merupakan salah satu faktor migrasi berlaku. Taraf kehidupan semakin tinggi jadi sebagai alternatifnya mereka terpaksa mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga masing-masing, memandangkan taraf ekonomi negara mereka yang rendah maka wujudlah migrasi ke negara-negara yang menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada mereka.

Bilangan penduduk yang ramai dengan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang di negara asal mereka, menyebabkan golongan ini terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu jalan yang paling mudah ialah merebut kesempatan yang ada di negara yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Faktor sosiobudaya

Sebenarnya faktor sosiobudaya juga memainkan peranan utama menyebabkan pendatang Indonesia semakin bertambah dari hari ke hari ke negara kita. Bahkan boleh dikatakan faktor sosiobudaya ini memainkan peranan yang sama pentingnya dengan faktor ekonomi, mennjadi daya tarikan kepada pendatang Indonesia ini.

Faktor persamaan sosiobudaya antara kedua-dua negara akan selamanya didapati menjadi daya tarikan untuk mereka datang ke negara ini.Dengan adanya persamaan ciri-ciri ini proses untuk mereka menyesuaikan diri akan berjalan dengan lancar. Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara ini merupakan "pasport" utama, membolehkan mereka mengekalkan dan mempertahankan kedudukan mereka di negara ini.
Hubungan kekeluargaan yang ada didapati sering dijadikan sebagai batu loncatan dikalangan pendatang baru untuk berhijrah ke negara ini. Penghijrahan kaum keluarga terdahulu seolah-olah membentuk satu rangkaian yang memudahkan kedatangan penghijrah lain.Tambahan pula terdapat sebilangan pendatang yang telah mendapat taraf penduduk tetap negara ini, membolehkan mereka ini secara tidak langsung membawa masuk kaum keluarga mereka yang lain.Hal ini dipermudahkan lagi jika pendatang Indonesia tersebut mempunyai sanak saudara yang terdiri daripada rakyat tempatan.
Persamaan cara hidup di kalangan rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia, salah satu faktor yang dikenal pasti mengapa pendatang Indonesia lebih tertarik datang ke negara ini. Dari segi budaya, penduduk yang berbilang kaum, bahasa, makanan, dan kebebasan beragama merupakan antara ciri-ciri yang mempunyai persamaan yang erat antara penduduk kedua-dua negara. Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat dapat mengelakkan daripada timbulnya konflik yang besar.

Persamaan bahasa yang ada memudahkan golongan pendatang ini berinteraksi dengan masyarakat tempatan. Keadaan ini membolehkan mereka berada di negara sendiri. Golongan pendatang Indonesia ini juga mudah tinggal di negara kita disebabkan warga besar mereka yang datang adalah beragama Islam.

Faktor persamaan agama juga memainkan peranan yang agak besar menjadi daya penarik kedatangan golongan ini. Atas dasar saudara di dalam Islam maka sedikit sebanyak kehadiran golongan ini dapat diterima oleh masyarakat tempatan khususnya di kalangan masyarakat melayu. Kebebasan beragama yang diamalkan di Malaysia secara harmoni dan dihormati oleh semua kaum, menguatkan lagi tarikan untuk datang ke negara ini.

Faktor kestabilan politik

Kestabilan politik sesebuah negara memainkan peranan yang penting dan berkait rapat dengan ekonomi negara dan proses migrasi antarabangsa. Sebuah negara yang aman dan makmur secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya migrasi penduduk negara tersebut ke negara lain, sebaliknya menyebabkan penduduk negara lain berhijrah ke negara tersebut.
Dari segi kajian yang telah dibuat menunjukkan ketidakstabilan politik sesebuah negara menyebabkan peratus migrasi yang tinggi, ini dapat dilihat pada negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand dan lain-lain yang berhijrah ke Malaysia secara haram

KESAN-KESAN MIGRASI TERHADAP NEGARA PENERIMA

Dewasa ini penghijrahan kewujudan buruh asing telah menjadi satu fenomena yang lumrah di kalangan masyarakat negara penerima. Media massa juga tidak melepaskan peluang ini untuk mewarwarkan berita dan matlumat berkenaan dengan kemasukan buruh asing ke negara mereka.

Pada suatu ketika dahulu, buruh asing lebih banyak tertumpu di negara Eropah Barat, Amerika dan negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat. Namun begitu fenomena buruh asing ini tidak berhenti di situ sahaja , malah ia telah menular dengan pesatnya ke negara-negara Asia Pasifik seperti Korea Selatan, Hongkong, Singapura dan tidak ketinggalan juga di negara kita, Malaysia. Kejadian ini berlaku di sekitar tahun 1960an dan 1970an di mana peluang pekerjaan telah bertambah dengan pesatnya di negara-negara tersebut.

Di Malaysia, fenomena ini berlaku dengan ketaranya di sekitar tahun 1980an di mana pada ketika itu, Malaysia merupakan sebuah negara pengimport buruh terbesar di Asia. Pada penghujung tahun 1993, didapati jumlah buruh asing yang berdaftar sahaja meningkat ke angka satu juta orang. Selain daripada itu, laporan daripada Kementerian Dalam Negeri menunjukkan bahawa terdapat 886000 orang buruh asing memasuki Malaysia tetapi tidak didaftarkan. Daripada matlumat ini , buruh asing di Malaysia termasuk yang tidak berdaftar merangkumi lebih lapan peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia pada tahun 1994.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan dan peranan tenaga buruh asing dalam pertumbuhan ekonomi negara amat penting. Namun begitu kedatangan mereka ke negara kita sudah mencapai tahap yang membimbangkan dan di luar kawalan.Ini akan menimbulkan pelbagai kesan yang negatif baik dari segi ekonomi, politik dan sosial, sekiranya kedatangan buruh asing ini tidak dibendung daripada awal.

Dari aspek Ekonomi, kerajaan telah mengambil langkah yang bijak, dalam mengawal kenaikan gaji buruh dan inflasi dan ini merupakan aspek utama dalam menuju kepada kejayaan pertumbuhan ekonomi. Melalui kaedah ini, kerajaan dapat mengurangkan penggunaan wang yang banyak untuk membayar gaji atau upah kepada buruh asing ini, kerana mereka tidak terlalu meminta-minta gaji yang lebih dan tidak menghiraukan sangat tentang pendapatan yang mereka perolehi, asalkan duit yang mereka terima itu mampu untuk menyara keluarga di negara mereka dan sebagainya. Secara tidak langsung para majikan akan mengambil kesempatan ini untuk mengaut keuntungan kerana mereka tidak perlu lagi menawarkan kos untuk kemudahan sosial seperti tabung kebajikan pekerja, faedah perubatan dan faedah-faedah lain kepada buruh asing ini.

Memang tidak dapat dinafikan, kedatangan buruh asing ke negara kita hanya untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor perladangan, pembinaan, pembantu rumah dan sektor perkhidmatan ( seperti restoran dan jurupam ). Namun begitu, harus diingat dan telahpun terbukti bahawa ramai di kalangan buruh asing yang telah mula bertukar arah yakni menukar bidang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji yang lumayan seperti peniaga kecil-kecilan, juruteknik, sub-kontraktor dan penyelia kilang yang sebelum ini pekerjaan ini telah dipenuhi oleh pekerja tempatan.

Justeru itu, penglibatan buruh asing ini bukan sahaja akan menggugat pendapatan pekerja tempatan malah kedudukan ekonomi orang tempatan. Kalau sebelum ini, orang tempatan dapat menikmati pekerjaan tanpa ada persaingan daripada orang asing, tapi kini tidak lagi, penduduk tempatan terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan, dan mengakibatkan wujudnya peningkatan harga rumah, sewa rumah dan keperluan asas yang lain ekoran daripada pertambahan penduduk akibat daripada kehadiran buruh asing yang tidak terkawal di sesebuah tempat.

Peningkatan kemasukan buruh asing ini juga telah memberi kesan Sosial yang penting kepada penduduk tempatan. Sejak akhir-akhir ini media-media massa juga banyak menampilkan berita-berita jenayah seperti merompak, menyamun, mencuri, merogol, menyeludup dan kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh buruh asing yang datang ke negara kita.

Kita ketahui bahawa di bawah Perundangan Malaysia, setiap warganegara asing boleh memohon untuk menjadi rakyat Malaysia dan salah satu keperluan perundangan ini ialah memiliki kad pengenalan. Walaupun ini merupakan syarat asas untuk menjadi rakyat Malaysia dan perlu mengikut prosedur-prosedur yang tertentu untuk mencapai taraf kerakyatan, namum begitu kejadian kad pengenalan palsu amat berleluasa dewasa ini.

Banyak terdapat sungutan kononya ada satu sindiket yang terdiri dari rakyat Malaysia sendiri yang berani mengeluarkan permit palsu semata-mata untuk memudahkan buruh asing ini masuk ke negara ini. Malah ada kemungkinan juga berlakunya penyelewengan di kalangan rakyat Malaysia sendiri, barangkali ada yang terlibat dalam kes seperti ini hingga membolehkan buruh asing ini mendapatkan visa dan kad pengenalan dengan mudah.
Sekiranya gejala-gejala ini tidak ditangani dengan segera, maka tidak hairanlah suatu hari nanti warga asing ini akan menjadi pemimpin negara kita sekaligus mengawal pentadbiran, ekonomi dan sosial mengikut telunjuknya.

Penghijrahan masuk pelajar luar negara ke Malaysia seperti kemasukan pelajar dari negara Balkan disekitar tahun 1992 menyebabkan berlakunya kegawatan sosial di kalangan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi. Hampir kesemua pelajar ini tidak mempunyai latar belakang didikan agama apatah lagi akhlak Islam, dimana Islam mereka hanyalah pada nama sahaja. Mereka yang telah terbiasa dengan cara hidup bebas di negara asal, terbawa-bawa dengan budaya tersebut biarpun telah berada di sini.

Pengajian mereka dibiayai oleh banyak pihak dan ini menjadikan mereka lebih berkemampuan berbanding pelajar lain. Dengan itu dapatlah mereka menyewa banglo-banglo atau pangsapuri mewah yang berhampiran dengan pusat pengajian tinggi. Dengan secara tidak langsungnya wanita tempatan atau siswi-siswi mudah terpengaruh dengan cara hidup mereka dan menjadi sasaran untuk melampiaskan nafsu mereka.

Bagi penghijrahan pelajar-pelajar dari bekas negara komunis pula, fahaman agama boleh dikatakan langsung tiada, ini memburukkan lagi keadaan. Kebanyakan mereka telah dipasak dengan fahaman komunis, malah sesetengah daripada mereka telah mengaku mempunyai hubungan dengan pertubuhan jenayah antarabangsa, MAFIA.

Mereka ini bukan sahaja terlibat dengan pelbagai kegiatan maksiat bahkan juga termasuklah bekerja di bar dan kelab-kelab malam sebagai "bouncer", malah mereka juga terlibat dalam mengklonkan telefon bimbit. Hal-hal seperti ini akan membahayakan kepada keselamatan sesebuah negara penerima.

KESIMPULAN

Walaupun kedatangan buruh asing yang terlalu padat dan sering diperdebatkan di dalam Parlimen oleh pemimpin kita, namun masalah ini masih lagi ditakuk lama, tiada jalan penyelesaian yang dapat membendung gejala ini dengan betul-betul berkesan. Masih ramai lagi pendatang asing yang berhijrah ke sini terutama sekali di Kuala Lumpur dan Selangor; di Sabah di sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan malah tanpa perasaan takut dan segan silu mereka mewujudkan perkampungan sendiri yang terasing daripada penduduk tempatan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pada peringkat awalnya, kedatangan mereka ini adalah berdasarkan keperluan negara kita sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian yang ditandatangani antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Musa Hitam dengan Menteri Tenaga Manusia Indonesia, Encik Sudomo di Medan, pada 12 Mei 1984. Menurut perjanjian ini, kemasukan buruh- buruh Indonesia hanyalah berdasarkan syarat-syarat tertentu yang dibuat oleh Malaysia sendiri. Buruh-buruh dari negara jiran itu akan hanya dibawa masuk jika pekerjaan yang ada tidak dapat ditampung oleh penduduk tempatan sendiri.
Namun begitu apa yang terjadi adalah sebaliknya, kemasukan mereka langsung tidak terkawal di mana bilangannya telah melebihi daripada keperluan negara kita yang sebenar.
Kini sudah tiba masanya kerajaan mengadakan perundingan dengan negara jiran berkenaan supaya masalah ini terus dapat diatasi dengan secepat mungkin. Kata sepakat seharusnya diambil untuk menyekat kedatangan pendatang yang berleluasa. Jika perlu, kerajaan hendaklah mengambil tindakan membatalkan perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.
Selain daripada itu Pasukan Petugas Khas tujuh yang ditubuhkan untuk tujuan menyekat kedatangan pendatang ini seharusnya memperketatkan lagi kawalan mereka, terutamanya di kawasan sepanjang pantai yang merupakan pintu masuk bagi mereka.Orang-orang yang terlibat, samada majikan atau agensi-agensi tertentu seharusnya memikirkan keterlibatan masyarakat seluruhnya, janganlah hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Para majikan mestilah juga memberikan kerjasama, mereka tidak sepatutnya menawarkan pekerjaan kepada pendatang asing dengan begitu mudah sekali tanpa mengendahkan kepentingan orang lain terutamanya masyarakat tempatan.









































KESAN BANJIR KE ATAS INFRASTUKTUR




lawatan Pak Lah ke Kota Tinggi


pemandangan ketika gelombang kedua.


proses pemindahan mangsa banjir...........